"KISAH YATIM PIATU YANG BERWAJAH TENANG"



Semalam Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) sekali lagi menerima kemasukan sepasang 2 beradik anak-anak yatim piatu.

Mereka dihantar sendiri oleh bapa saudara sebelah ibu mereka yang telah memikul amanah lebih setahun menjaga mereka selepas kematian ibubapa kandungnya.

NOTA: Mereka dihantar ke RPWP bukan kerana ibubapa saudaranya tidak sanggup menjaga, tetapi ibubapa saudaranya ingin anak-anak ini menikmati peluang pendidikan di Akademi Insan Prihatin (AIP) yang memang disediakan khusus untuk anak-anak yatim dan asnaf.

Irsyad Iskandar, 13 tahun dan Aisyah Dalilah, 15 tahun kelihatan tenang dan redha ketika ditinggalkan di sini malam tadi. Allah sahaja yang tahu isi hati mereka. Kami yang sudah biasa melihat situasi itu amat memahami isi hati mereka walaupun tidak disuarakannya.

Mereka berdua ada seorang lagi abang berusia 17 tahun yang sedang belajar di Sekolah Teknik. Ibu mereka meninggal tahun 2013 dan ayah mereka menyusul ‘pergi’ tahun berikutnya. Kedua-duanya meninggal dunia atas asbab kanser.

KEPERLUAN RUANG LANTAI YANG MENDESAK

Di samping anak yatim, kami juga terpaksa menerima anak-anak tidak sah taraf yang terbuang namun tidak kami paparkan. Malam semalam, kami juga ada menerima permohonan 11 beradik anak-anak yatim (2-17 tahun) yang kini sedang terlantar. Pada masa yang sama ada ramai lagi permohonan masuk anak-anak yatim lain yang sedang diproses.

Ruang lantai kami semakin sempit di kesemua 3 asrama penempatan yang kami sediakan untuk anak-anak ini. Oleh itu kami amat memerlukan tambahan ruang lantai untuk menampung permohonan yang semakin bertambah. Kami berazam untuk tidak menolak permohonan masuk anak yatim biar apapun situasinya.

Pilihan yang ada sebagai langkah penyelesaian segera hanyalah dengan menyegerakan pembinaan lantai tambahan di kompleks sedia ada di Sungai Ramal ini yang sedang dalam pembinaan. Sementara itu kami akan terus berusaha mengumpul modal untuk membangun kompleks baru di tanah yang sudah kami beli di Lenggeng.

Selama ini kami bina kompleks ini dengan tangan sendiri secara gotong royong tanpa khidmat kontraktor. Bahan binaan juga banyak menggunakan bahan terpakai atau terbuang. Nampaknya kami tidak terkejar dengan pertambahan kemasukan anak-anak ini sekarang.

Sebelum ini pernah ada kontraktor yang menyuarakan tawaran untuk membantu kerja-kerja binaan. Dengan keperluan yang mendesak sekarang ini, sudah sampai masanya untuk kami buka ruang itu kepada sukarelawan luar yang ingin menyumbang tenaga kerja, bahan binaan atau dana.

Antara bidang kerja yang diperlukan ialah kerja konkrit, tile, ikat batu, plaster, tukang kayu, pendawaian, mengecat dan sebagainya. Keperluan bahan binaan adalah simen, batu, pasir, besi, batu-bata/block, zink kilang, kayu, plywood, papan, wayar serta segala keperluan alat letrik asas dan sebagainya.

Jika tidak mampu wakaf sepenuhnya, mungkin ada yang ingin menawarkannya dengan harga berpatutan untuk dipertimbangkan. Mungkin beberapa kontraktor boleh bergabung dan bekerjasama.

TAWARAN SAHAM WAKAF UNIFORM DAN ALQUR’AN

Prinsip kami ialah tidak mengenakan sebarang bayaran untuk anak-anak yatim dari warisnya secara khusus kecuali mereka sendiri mahu bersedekah untuk tabung kebajikan anak yatim kami secara umum.

Antara beban kewangan yang agak besar dan memakan dana tabungan kami ialah penyediaan naskah alQur’an tajwid per-kata (harfiah) dan pelbagai uniform untuk anak-anak ini. Dengan jumlah kemasukan yang agak ramai, agak besar juga kos menyediakan uniform untuk mereka.

Seboleh-bolehnya kami ingin mereka merasa selesa dan dihargai sejak hari pertama lagi. Kami tidak mahu mereka terasa hati atau tersisih hanya kerana ketiadaan uniform sepertimana anak-anak lain.

Untuk permulaan, kami hanya mampu sediakan 2 pasang uniform dengan warna asas iaitu warna hitam dan putih. Banyak lagi warna uniform yang diperlukan iaitu Baju Melayu / jubah nisak warna biru, hijau, kuning dan juga coklat muda.

Pada masa yang sama, ramai anak-anak lain juga sudah sampai masanya untuk diberi persalinan baru. Ini kerana kebanyakan uniform lama sudah terlalu usang atau sudah jadi sempit.

Di samping itu, banyak lagi keperluan lain sebagai pelengkap uniform seperti tudung labuh, kain samping songket warna hitam dan kuning, songkok hitam, beberapa warna T-shirt rasmi, serta seluar dan kasut hitam. Juga diperlukan ialah telekung, kelambu, kopiah dan jubah basahan, pakaian sukan, kasut sukan, safety boot, gum boot, juga topi untuk aktiviti kemahiran dan sebagainya.

JEMPUTAN WAKAF

Kami tidak pernah mengedarkan sebarang tabung derma di mana-mana. Kami juga tidak pernah mengutus surat memohon derma dari mana-mana korporat, VIP atau orang kaya walaupun RPWP tidak pernah mendapat geran bantuan kerajaan sejak mula. Jika ada yang bersedekah adalah atas kerelaan mereka yang rapat dengan kami dan setelah melihat sendiri akan keperluannya.

Hanya sekali sekala kami buka ruang untuk wakaf khusus seperti ini bilamana perlu. Untuk itu kami ingin buka peluang wakaf khusus kepada semua yang berhajat menitipkan sedekah jariah bagi tujuan berikut,

1) Dana pembinaan rumah
2) Wakaf al-Qur’an Tajwid Per-kata (harfiah)
3) Wakaf pakaian khusus

Anda boleh pilih mana-mana akaun yang tersenarai di website kami www.prihatin.net.my/akaun-bank/

Sila maklumkan kepada urusetia seperti yang disenaraikan untuk tujuan rekod, audit, akad dan doa. Sebarang pertanyaan silalah hubungi kami melalui inbox atau hubungi mana-mana admin di sudut kiri page ini. Boleh juga call /Whatsapp /Telegram 013-5858700 untuk keterangan lanjut.

Semuga kita semua sama-sama mendapat barakah dan redha Allah dari usahasama kebajikan ini.

Doakan kami mampu sabar dan istiqomah,
Warga Prihatin

Post a Comment