Tiada Lagi Suara Azan Bilal Paling Lama Masjidilharam...

Bagi sesiapa yang pernah ke Makkah, suara azan beliau boleh menyebabkan bulu roma meremang.... Al-Fatihah...





MAKKAH – Bagi mereka yang rajin memantau suara azan menerusi siaran televisyen tempatan, mungkin pernah terdengar laungan panggilan masuk waktu solat fardu yang dibawakan khas oleh lelaki warga Arab Saudi ini.


Meskipun tidak seglamor berbanding Sheikh Ali Abdul Rahman Ahmed Mulla yang cukup popular hingga sinonim disebut sebagai azan Makkah, hakikatnya suara beliau berkumandang di Masjidilharam jauh lebih lama usianya.

Dengan pengalaman lebih tiga dekad berkhidmat sebagai muazin masjid terbesar umat Islam di dunia itu, Sheikh Mohammed Siraaj Maroof bagaimanapun kurang dikenali sebahagian besar generasi baharu Muslim masa kini.

Sebenarnya beliaulah bilal paling lama berkhidmat di Masjidilharam sejak 1981 dibandingkan Ali Abdul Rahman yang sekadar ‘pangkat’ junior sahaja apabila bertugas di rumah Allah tersebut bermula hanya pada 1984 lalu.

Namun di sebalik memegang rekod muazin paling lama di Masjidilharam, tidak ramai tahu beliau telah meninggal dunia akibat penyakit paru-paru yang berbulan-bulan lama dialaminya pukul 9 malam pada 25 Disember 2015.

Menurut portal Saudi Gazette, Allahyarham meninggal dunia di Hospital Pakar al-Noor sebelum dikebumikan di tanah perkuburan al-Mualla, selepas solat jenazah di Masjidilharam sejurus solat Subuh pada 26 Disember lalu.

Mohammed Siraj mula berkhidmat sebagai bilal Masjidilharam selepas mengambil alih tugas daripada arwah bapanya, kira-kira 34 tahun lalu, kata ketua muazin masjid itu, Ali Abdul Rahman yang dipetik media tempatan.

Allahyarham kali terakhir melaungkan azan di Masjidilha­ram pada 1 Disember lalu, namun Saudi Gazette mendedahkan Mohammed Siraj sudah lama menderita penyakit paru-paru yang tidak dinyatakan butirannya.

Media bagaimanapun tidak menyatakan usia sebenarnya tetapi beliau dilaporkan telah melaungkan azan di masjid tempatan ketika berumur 14 tahun lagi. Untuk rekod, Masjidilharam ketika ini memiliki 20 muazin bertauliah.

Dalam pada itu, Ali Abdul Rahman turut melahirkan perasaan sedih terhadap pemergian rakan sejawatnya itu dan berkata: “Sheikh Mohammed Siraj merupakan antara bilal yang paling lama berkhidmat di Masjidilha­ram.

“Beliau mewarisi tugas mulia ini daripada bapa dan datuknya. Keluarga Allahyarham sendiri yang menetap di daerah al-Subhani merupakan antara keluarga menjadi bilal di Masjidilharam bagi tempoh yang lama,” katanya.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan beliau ditempatkan dalam kalangan insan yang beriman atas sumbangan besar jasanya sebagai muazin. Al-Fatihah... – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Post a Comment