Istana ini dibina dari madu lebah dan putih telur pada tahun 1882, korang mungkin tak percaya apa yang ditemui di dalamnya..



Istana Sepachendera dibina dengan madu lebah, putih telur

SEPERTI Shah Jahan membina Taj Mahal untuk isterinya, Mumtaz Mahal, Istana Sepachendera, di Jalan Kampung Baru, di Alor Setar juga dibina khas Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah buat isteri baginda, Che Sepachendera.

Reka bentuk istana lama dikenali Istana Kampung Baru yang dibina pada 1882 ini, iaitu selepas baginda menaiki takhta, menyerupai reka bentuk Siam.

Antara putera puteri yang diputerakan di istana terbabit, termasuklah Tunku Ibrahim (Tunku Sulung), Tunku Rokiah, Tunku Zamzam dan Tunku Kasim (Tunku Laksamana).

Istana lama jadi sekolah

Berdasarkan catatan batu penerangan di hadapan binaan terbabit, istana lama ini masih didiami selepas kemangkatan Che Sepachendera, apabila dijadikan sebuah sekolah.

Menurut Tunku Mansor Tunku Kasim, yang juga cucunda kepada Sultan Abdul Hamid, pada peringkat permulaan, istana terbabit menjadi keutamaan buat golongan kerabat diraja mendapat pendidikan awal mereka.

“Tidak lama kemudian, ia dijadikan sebuah sekolah Inggeris dikenali sebagai Sekolah Perempuan Kampung Baru pada 1922 atas usaha Tunku Ibrahim yang mementingkan pendidikan.

“Apabila sekolah dipindahkan ke Jalan Langgar, dekat sini, sebagai Sekolah Menengah Sultanah Asma, ia dijadikan pula Sekolah Rendah Tunku Abdul Halim dan cawangan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah,” katanya.

Tunku Mansor berkata, istana yang pernah menjadi tempat kelahiran ayahandanya, Tunku Kasim merupakan antara lambang kemegahan kerana keunikan reka bentuk dan ukirannya.

Hampir 80 peratus rosak

Namun, beliau memaklumkan, istana lama berkenaan terbiar kosong semula tidak lama kemudian.

“Kini, istana lama berhampiran Sungai Raja, di sini, dilihat tidak berpenghuni mahupun digunakan lagi. Lebih kurang 60 hingga 80 peratus struktur binaannya kian rosak,” katanya.

Antara struktur dalaman dan luaran istana lama rosak termasuklah bahagian bumbung, tiang rusuk, tingkap dan serpihan lantai akibat dicengkam sejenis pokok menjalar.

Tinjauan Sinar Harian mendapati istana lama berkenaan sudah pun menjadi sarang kelawar, manakala lantai bangunan tiga tingkat sudah mereput di sana-sini.

Sebagai cucunda, katanya, mereka sememangnya meminta perhatian pihak bertanggungjawab supaya bangunan tinggalan sejarah terbabit dapat dikekalkan.

Miliki nilai sejarah tinggi

Untuk itu, beliau bersama rakan pengkaji sejarah sedaya upaya mempertahankan istana daripada ditelan zaman antaranya cuba membangunkan rekaan asal bangunan.

Secara persendirian, katanya, perasaan kecintaan terhadap warisan sejarah sedemikian sudah menjadi darah dagingnya, maka beliau berharap kemungkinan tersebut jadi kenyataan.

“Dalam usaha memelihara dan memulihara warisan bernilai tinggi ini, kami mengambil masa tiga tahun untuk menyiapkan lukisan reka bentuk asal istana terbabit,” katanya.

Melalui sejumlah peruntukan kos kewangan, katanya, pihak mereka meminta kerja membaik pulih istana dipercepatkan kerana ia dikhuatiri lenyap suatu hari nanti.

Walaupun ada kekangan, bagaimanapun mereka harap dapat bekerjasama dengan jabatan berkaitan seperti muzium menggunakan pendekatan tertentu bagi mengatasi cabaran ini.

Katanya, mereka sedia mempertahankan istana lama yang berpotensi menjadi warisan sepanjang zaman terbabit bagi memberi peluang generasi masa depan menghayati nilai sejarahnya.









Post a Comment