10 “BAHASA DOSA” Penyebab ANAK DEGIL DAN BERMASALAH Yang Wajib Dielakkan Ketika Bercakap Dengan Anak..

10 “BAHASA DOSA” Penyebab ANAK DEGIL DAN BERMASALAH Yang Wajib Dielakkan Ketika Bercakap Dengan Anak..


10 “BAHASA DOSA” Penyebab ANAK DEGIL DAN BERMASALAH Yang Wajib Dielakkan Ketika Bercakap Dengan Anak..

Dua minggu lepas saya berkesempatan untuk menghadiri seminar pendek bertajuk “Memupuk Suasana Mawadah Wa Rahmah Di Sekolah dan Rumah” yang dianjurkan oleh sekolah anak kami.

Penceramah yang dijemput adalah Dr. Azlina Roszy Bt. Mohamad Ghaffar, pakar psikologi klinikal di Hospital Pakar An-Nur (Bangi), yang juga pemilik Pusat Psikologi & Rehabilitasi Atfal Jannah di Bandar Putra, Kajang.

Saya tertarik dengan salah satu isi yang beliau kongsikan, iaitu mengenai “10 Bahasa Dosa Dalam Berbicara“. Sama ada sedar ataupun tidak, ramai daripada kita ibu bapa yang selalu menggunakan “bahasa dosa” ini pada anak-anak. Dan dalam kebanyakan keadaan, inilah antara penyebab anak degil dan bermasalah, pemarah, pendendam, lemah jiwa dan tiada keyakinan diri/rendah diri, walaupun kita rasa sudah pun memberikan didikan agama dan mencukupi keperluan mereka.

1) Bahasa MELAKNAT

Contohnya, sumpah seranah, maki hamun, carutan menggunakan perkataan yang buruk.
Anak yang sering ditengking dan dimaki hamun biasanya sama ada menjadi seorang yang keras jiwanya dan rebellious, ataupun seorang yang kurang keyakinan diri. Ini mengingatkan saya pada status FB seorang kenalan saya yang mengendalikan sebuah tadika. Kesian, kan?

2) Bahasa MENYINDIR (SARCASM)

Contoh :
“Asyik mintak duit aje. Kamu ingat ayah/ibu nie kerja cop duit?”
“Kan dah jatuh. Mata letak kat mana, kat lutut?”
Bahasa sebegini sangat merobek emosi. Hakikatnya, anak-anak tak faham bahasa sindiran. They won`t get the message. Lebih baik berterus-terang dan gunakan ayat yang jelas dan mudah difahami.
Tak dinafikan budaya sindir menyindir sangat menebal dalam masyarakat kita. Tapi budaya sarcasm ini memang ALlah larang.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) menyindir dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang disindir itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan menyindir dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang disindir itu lebih baik daripada mereka.”
[al-Hujurāt 49: 11]
Artikel yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal @Abah.My sangat menginsafkan bahawa bahasa sarcasm boleh membunuh jiwa anak. Kita hentikan ya.

3) Bahasa BERDUSTA/MENIPU

Contoh :
“Jangan nangis ya, nanti ibu belikan aiskrim….” (tapi akhirnya tak beli pun, cuma untuk memujuk supaya diam)
“Jangan nakal-nakal, nanti polis tangkap.”
“Jangan main kat situ, ada hantu.”
Ayat-ayat di atas biasa diucapkan oleh masyarakat kita. Saya kira, hadis di bawah sangat baik untuk dijadikan panduan. Jangan berbohong kepada anak! Ia akan menghilangkan kepercayaan anak pada ibu bapa dan akhirnya meniru perbuatan tersebut.
“Pada suatu hari ketika Rasulullah SAW duduk di tengah-tengah kami, (tiba-tiba) ibuku memanggilku dengan mengatakan: ‘Hai kemari, aku akan beri kamu sesuatu!’ Rasulullah SAW mengatakan kepada ibuku: ‘Apa yang akan kamu berikan kepadanya?’ Ibuku menjawab: ‘Kurma.’ Lalu Rasulullah SAW bersabda:
“Ketahuilah, seandainya kamu tidak memberinya sesuatu maka ditulis bagimu kedustaan.”
(HR. Abu Dawud)
Belajar untuk terangkan dan memujuk dengan lembut dalam bahasa yang mudah.

4) Bahasa MENEMPELAK

Contoh :
“Padan muka.”
“Tue lah, tak nak dengar cakap ibu. Kan dah luka. Lain kali buatlah lagi.”
Anak-anak tak dapat belajar apa-apa daripada ayat yang memancing emosi sebegini. Sepatutnya, beritahu saja apa kesilapan tersebut dan nasihatkan supaya tak mengulanginya.

5) Bahasa MEMBANDINGKAN

Contoh :
“Cuba kamu tengok abang/kakak, rajin tolong ibu di rumah. Tak macam kamu nie, asyik nak bermain saja.”
“Kenapalah kamu nie tak pandai macam adik. Asyik dapat nombor corot saja.”
Jangan bersikap pilih kasih terhadap anak-anak. *image googled*
Setiap anak ada kelebihan masing-masing. Perbuatan melebihkan/menyayangi anak-anak tertentu (=favoritism @ pilih kasih) hanya akan menjadikan anak-anak lain rasa rendah diri, tidak disayangi dan depressed. Hubungan antara anak-anak juga akan retak dan dalam banyak keadaan, sibling rivalry akan berterusan sekalipun setelah dewasa dan beranak-pinak. Anda boleh baca rintihan seorang anak 12 tahun yang sangat terkesan dengan keadaan nie, seperti yang dicerikan oleh Ustaz Ebit Lew di FaceBook. Kesian, kan?

Saya suka dengan nukilan Encik Nazali di FaceBook tentang kesan perbuatan membanding-bandingkan anak. Saya yakin pengalaman tersebut dapat menginspirasikan dan memberikan pengajaran untuk semua ibu bapa supaya melayani anak-anak dengan adil dan penuh kasih sayang.

6) Bahasa MENGKRITIK/MEMBEBEL

Yang nie mungkin ramai ibu biasa buat, tapi ianya memang tak bagus untuk anak sebab tiada siapa suka dileteri. Kalau nak berikan arahan ataupun menegur, gunakan ayat yang ringkas dan mudah difahami. Fokus pada kebaikan yang mereka buat. Hakikatnya, anak yang sentiasa dikritik takkan maju ke depan, malah akan hilang keyakinan diri mereka.

7) Bahasa MENGUNGKIT (Surah al-Baqarah, ayat 264)

Contoh :
“Kenapa result teruk macam nie? Buat penat je ayah/ibu hantar pegi tuisyen, belikan buku dan macam-macam. Tapi tak pandai-pandai juga..”
Kuncinya, ikhlaskan hati dan banyakkan bersabar dalam mendidik anak-anak.

8) Bahasa MENGUGUT

Contoh :
“Kalau lepas main tak nak kemas, ayah/ibu buang semua mainan.”
“Kalau tak berhenti menangis, ayah/ibu tinggal.”
“Kalau tak nak dengar cakap, ayah/ibu pukul.”
Jangan ugut atau menakut-nakutkan anak. *image google*
Anak-anak memang perlu diajar tentang akibat sesuatu perbuatan, tapi bukan dengan mengugut. Sebab itu, ibu bapa perlu tetapkan peraturan di rumah beserta denda jika ia dilanggar, dan ini diterangkan kepada anak-anak. Yang penting, kena konsisten, tegas (bukan garang) dan hukumannya juga perlu berpatutan. insyaAllah anak-anak akan mudah faham akibat perbuatan mereka serta jadi lebih berdisiplin. Penggunaan STAR CHART juga sangat bagus untuk mendisiplinkan dan motivasikan anak berbuat baik.

9) Bahasa MENUDUH

Contoh :
“Macam mana barang boleh hilang? Nie mesti kamu yang cuai bermain sampai tercicir.”
“Kenapa adik menangis nie? Abang/kakak buat ya?”
Sebaiknya siasat dulu untuk tahu keadaan sebenar, dan berikan anak peluang untuk menerangkan hingga habis. Itu memberikan mereka keyakinan dan keberanian untuk berterus-terang dan mengaku kesalahan (jika bersalah) dengan jujur.

10) Bahasa BISU (silent treatment)

Dengan mendiamkan diri tak akan membantu anak untuk membetulkan kesalahan mereka. Bahkan akan membuatkan mereka rasa lebih tidak disayangi serta menjauhkan diri.
Parenting sememangnya sangat mencabar dan memerlukan kekuatan mental emosi yang tinggi. Ia juga satu perjuangan yang panjang dan melelahkan.

Tapi tiada yang lebih manis apabila anak yang kita didik dan asuh itu membesar menjadi manusia yang baik dan bermanfaat kepada orang lain, serta menjadi pemimpin kepada lingkungan masing-masing. Sama-samalah kita usaha tingkatkan parenting skills dan elakkan bahasa percakapan seperti di atas ya. Bandingkan dgn apa yg kita dah buat pd anak2..




Post a Comment